Hab halal terbesar dunia

Perkongsian strategik menerusi HDC iktiraf peranan Malaysia

Halal Industry Development Corporation (HDC) menjalinkan pakatan dan perkongsian strategik dengan kumpulan perniagaan dari lima ekonomi utama yang berpotensi menyaksikan Malaysia muncul sebagai hab halal terbesar di dunia lebih cepat daripada sasarannya pada 2020.

Kumpulan perniagaan itu ialah Halal Development Internal Japan Corp dari Jepun; Halal Development Internal Korea Corp (Korea Selatan); Halal Development Internal Shanghai Corp (China); Halal Development Internal Taiwan Corp (Taiwan); dan Halal Development Internal H.K. Corp (Hong Kong).
Kumpulan perniagaan terbabit yang mewakili lebih daripada 500 firma yang terbabit dalam pelbagai bidang pengeluaran produk dan perkhidmatan di negara masing-masing akan mengambil bahagian dalam Program Jejak Halal anjuran HDC.

Menerusi program itu, kumpulan perniagaan berkenaan akan bekerjasama dengan HDC dalam membangunkan rangkaian lengkap bagi pengeluaran dan pengedaran produk dan perkhidmatan halal.

Antara lain, syarikat dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan, China, Taiwan dan Hong Kong yang terbabit dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal akan dibantu bagi meningkatkan keupayaan dari segi pembangunan modal insan, kesedaran halal, program promosi, pelaburan, perdagangan dan akses pasaran yang lebih meluas. Lima kumpulan terbabit juga bersetuju membantu syarikat dari negara masing-masing menempatkan kemudahan pengeluaran produk dan perkhidmatan halal mereka di Malaysia bagi memperoleh pengiktirafan serta pensijilan halal yang dikeluarkan negara ini.

Mereka juga akan menjadikan negara ini sebagai hab bagi meneroka dan mengembangkan jangkauan perniagaan ke pasaran halal global yang dianggarkan bernilai AS$2.3 trilion (RM7.44 trilion) setahun.

Memorandum Persetujuan (MoA) bagi pakatan dan perkongsian strategik itu dimeterai HDC dengan lima kumpulan perniagaan berkenaan di Putrajaya, semalam. Ekosistem halal lengkap

Ketua Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin, berkata pakatan dan perkongsian strategik yang dimeterai HDC dengan lima kumpulan perniagaan itu memperlihatkan dunia kini mengiktiraf peranan Malaysia dalam pembangunan sektor halal.

Katanya, ini bersandarkan kepada kelebihan Malaysia yang memiliki ekosistem halal lengkap, khususnya dari segi peraturan kawal selia yang tidak boleh didapati di mana-mana negara lain.

“Hasilnya, kumpulan perniagaan dari lima ekonomi utama dunia berminat menjalinkan pakatan strategik dengan Malaysia menerusi HDC bagi memanfaatkan peluang perniagaan industri halal global yang dianggarkan bernilai AS$2.3 trilion setahun,” katanya pada media selepas majlis memeterai MoA itu.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan berharap kerjasama dengan kumpulan perniagaan dari lima negara itu akan membantu meningkatkan kesedaran halal di negara terbabit selain meningkatkan lagi pelaburan dalam sektor halal di negara ini.

“Pemeteraian MoA ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran Malaysia dengan menggunakan kepakaran tempatan kita (HDC) untuk menembusi pasaran dunia, khususnya Jepun, yang begitu berminat dengan kejayaan kita dalam membangunkan industri halal.

“Justeru, mereka (Jepun) kini berbincang dengan kita untuk menggunakan Malaysia sebagai hab mendapatkan akses ke pasaran di Eropah dan Asia Barat,” katanya.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Habhalalterbesardunia/Article/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s