JAKIM batal pengiktirafan dua badan Islam Australia

Putrajaya: Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan untuk membatalkan pengiktirafan terhadap dua badan Islam luar negara di Australia berkuatkuasa 15 Julai lalu.
Kenyataan yang dikeluarkan bahagian itu berkata, pembatalan pengiktirafan terhadap Australian Federation of Islamic Councils Inc (AFIC) dan Australian Halal Food Services (AHFS) berikutan kegagalan kedua-dua badan itu dalam proses audit pembaharuan sijil halal.

“Bagi produk import berasaskan haiwan dan bukan haiwan yang dipersijilkan halal AFIC dan AHFS sebelum atau pada 15 Julai, sijil halal terbabit diterima pakai oleh JAKIM sehingga tarikh tamat sijil.
“Berikutan itu, orang ramai diminta merujuk senarai terkini Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM melalui laman sesawang http://www.halal.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang Bahagian Hab Halal.

Menurutnya, bagi produk sedia ada di Malaysia, sijil halal itu diterima pakai sebagai penghabisan stok. Pembelian baru oleh syarikat selepas 15 Julai, hendaklah disertai dengan sijil halal daripada Badan Pensijilan Halal yang diiktiraf di Australia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14

http://www.hmetro.com.my/articles/JAKIMbatalpengiktirafanduabadanIslamAustralia/MA/Article

Advertisements

Sijil halal tidak babit semua produk

Kuala Lumpur: Kerajaan masih belum dapat mengatasi isu halal secara menyeluruh kerana pendaftaran sijil halal tidak diwajibkan bagi barangan keperluan membabitkan pakaian dan perkakas dapur seperti pinggan mangkuk buat masa ini sekali gus membataskan siasatan pihak berkuasa terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah Bahagian Hub Halal JAKIM Hakimah Yusoff berkata, setakat ini tiada undang-undang bagi mengawal penjualan barangan keperluan secara dalam talian dan ia tertakluk kepada tanggungjawab pengedar dan penjual barangan terbabit sama ada mahu melabelkan bahan yang digunakan dalam produk mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berhubung kebarangkalian penjualan produk kulit babi dan pinggan daripada tulang haiwan secara dalam talian kelmarin. “Tiada halangan bagi peniaga untuk menjual barangan mereka cuma jika mereka menyalahgunakan logo halal JAKIM, barulah tindakan dikenakan terhadap mereka.

“Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai barang yang hendak dibeli dan jika timbul keraguan mereka boleh berhubung dengan JAKIM,” katanya.

Namun katanya, JAKIM menggalakkan pengusaha melabelkan bahan yang terkandung khususnya produk tidak halal supaya tidak mengelirukan pengguna Islam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/16
sumber
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sijilhalaltidakbabitsemuaproduk/Article/index_html