DNA babi dalam produk jiran

Kangar: Sos kanser perut. Begitu penemuan terbaru Jabatan Kesihatan negeri ke atas sos ikan import dari negara jiran yang didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya seperti ‘chloropropanols’, sekali gus dibimbangi boleh mengakibatkan kanser perut.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKN) Datuk Dr Ghazali Othman berkata, sos ikan dari Thailand itu antara tiga produk yang dikenal pasti dibawa masuk ke negara ini tanpa mendapatkan kelulusan termasuk dua produk lain yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Menurutnya, kedua-dua barangan berkenaan ialah jejari ikan dan kuih ikan sudah dikenal pasti melalui ujian yang dilakukan pada April lalu sebelum laporannya dikeluarkan pada Julai lalu bahawa ia mempunyai DNA babi. Katanya, sos ikan berkenaan dikesan digunakan di beberapa restoran dan kedai makan di negeri ini sebagai bahan penambah perisa makanan.

“Barangan makanan dari Thailand bukan saja mengandungi DNA babi, malah mempunyai bahan kimia yang boleh mengakibatkan kanser perut. Kebanyakannya produk jenis sejuk beku berkisar seperti daging, ikan, ketam dan ayam yang diseludup masuk melalui jalan tikus bagi dipasarkan, di sini.

“Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan bahan dari negara Thailand walaupun dijual pada harga murah kerana dibimbangi mendatangkan mudarat kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, ujian berkenaan dilakukan ke atas produk sejuk beku berasaskan ikan dan isi ketam yang diperoleh daripada hasil rampasan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) pada Disember tahun lalu. “Berdasarkan ujian berkenaan, satu laporan keputusan dikeluarkan pada April lalu mengesahkan produk terbabit positif kandungan DNA babi,” katanya.
Menurutnya, pengguna tidak mengetahui kandungannya kerana label bahan terbabit menggunakan tulisan Thailand sepenuhnya.

Katanya, penterjemahan tidak dilakukan kerana barangan itu diseludup masuk dan ujian hanya dilakukan ke atas produk terbabit selepas rampasan dibuat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DNAbabidalamprodukjiran/Article/index_html

Advertisements

Kedai makan campur makanan halal, tidak halal diarah tutup

18/07/2013 4:52pm

KUCHING – Gara-gara mencampur-adukkan makanan halal dengan tidak halal, sebuah kedai makan di Kota Samarahan, kira-kira 25 kilometer dari sini, diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini.
Arahan penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan sepasukan anggota penguatkuasa jabatan itu selepas menyerbu premis makanan yang beroperasi 24 jam itu kira-kira 9 pagi.
Penolong Pegawai Kesihatan Samarahan, Wan Alwie Wan Suud yang mengetuai operasi itu berkata, premis itu juga didapati menggaji pekerja yang tidak memiliki sijil kendalian makanan dan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan sebagaimana yang diwajibkan oleh jabatan itu.
Selain itu, katanya tempat penyediaan makanan di kedai itu juga didapati sangat kotor dan sistem pendawaian elektriknya juga tidak selamat.
Beliau berkata arahan penutupan itu akan hanya ditarik balik setelah pengusaha premis berkenaan melaksanakan kerja pembaikan dan pembersihan yang ditetapkan serta mematuhi syarat yang melibatkan pekerjanya. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0718&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_17.htm#ixzz2ZOHSMW7n
Hakcipta terpelihara

Adakah terdapat kawalan dilakukan terhadap kandungan bahan berunsurkan haiwan pada produk farmaseutikal

Pemegang perakuan pendaftaran ubat-ubatan perlu melabel dan mengisytiharkan pada label sekiranya terdapat bahan berasaskan sumber haiwan seperti magnesium stearate, gliserin atau gelatin pada produk farmaseutikal. Jika gagal berbuat demikian, KKM berhak untuk membatalkan/menggantung pendaftaran ubat tersebut.
Penentuan sesuatu ubat bebas dari sumber haiwan sama ada bovine, porsine dan lain-lain, melibatkan proses yang kompleks, namun dengan kecanggihan teknologi terkini, sumber bahan haiwan boleh disahkan.
Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa ubat berunsurkan sumber yang ditegah hanya diharuskan sekiranya tiada ubat daripada sumber halal lain, dan digunakan dalam keadaan darurat. Sila hubungi JAKIM untuk maklumat lanjut.

http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/soalan-lazim/adakah-terdapat-kawalan-dilakukan-terhadap-kandungan-bahan-berunsurkan-haiwan-pada-produk.html

Adakah kosmetik di Malaysia mendapat pengesahan status halal

Penggunaan Logo halal adalah dibolehkan untuk produk kosmetik, dengan syarat mendapat persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jakim. Walau bagaimanapun, Penggunaan logo halal ini bergantung kepada permohonan sijil oleh pihak pengilang/pengedar dan bukan merupakan keperluan mandatori. Untuk maklumat lanjut berkaitan kosmetik, layari laman web BPFK www.bpfk.gov.my, klik kosmetik untuk memuat turun garis panduan berkaitan notifikasi produk kosmetik.

http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/soalan-lazim/adakah-kosmetik-malaysia-mendapat-pengesahan-status-halal.html

JAKIM pantau hotel, restoran tiada sijil halal

Putrajaya: Ketibaan bulan Ramadan bukan waktu rehat buat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila agensi berkenaan tetap meneruskan pemantauan berkala sepanjang bulan mulia ini terutama bagi mengesan premis makanan termasuk restoran dan hotel yang menawarkan bufet Ramadan tanpa perakuan sijil halal sah.
Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM Hakimah Mohd Yusoff berkata, pegawai dan kakitangan JAKIM yang terbabit kini sedang giat menjalankan pemantauan di beberapa lokasi utama di Lembah Klang bagi mengesan pengusaha restoran dan hotel yang mengingkari arahan itu.

Beliau berkata, pemantauan itu penting bagi memastikan pengguna tidak tertipu dengan helah pengusaha hotel dan restoran yang ingin mencari keuntungan cepat dengan menawarkan bufet Ramadan tanpa perakuan sijil halal yang sah.

“Buat masa ini, pemantauan dilakukan JAKIM membabitkan kawasan di Lembah Klang saja manakala operasi di peringkat negeri pula dilakukan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.

“Sehingga hari ini (semalam), kami belum menerima sebarang aduan mengenainya, namun berharap supaya pengguna dapat memberi kerjasama penuh untuk membantu kami mengesan aktiviti tidak bertanggungjawab itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hakimah berkata, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan mengejut ke atas premis yang disyaki sejurus menerima aduan daripada orang awam.
Beliau berkata, pemantauan serta pemeriksaan turut dilakukan terhadap bahan promosi dan pengiklanan termasuk risalah, papan iklan dan bunting bufet Ramadan yang dipamerkan bagi memastikan kesahihan bufet yang ditawarkan.

Justeru, beliau menyeru supaya penguna lebih bijak memilih lokasi berbuka puasa terutama rangkaian hotel dan restoran yang menawarkan bufet Ramadan yang mendapat perakuan sijil halal sah dari JAKIM dan JAIN.
“Pengguna boleh menyemak terlebih dahulu hotel yang memiliki persijilan halal atau tidak menerusi laman web JAKIM iaitu http://www.halal.gov.my bagi mendapatkan kepastian sebelum membuat pilihan untuk berbuka puasa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JAKIMpantauhotel_restorantiadasijilhalal/Article/index_html